Friday, October 26, 2007

BANDAR DAN PEMBANDARAN DI MALAYSIA

Pengenalan

Bandar merupakan pentas pembangunan negara yang paling terkait dengan proses globalisasi. Samada proses globalisasi itu terhasil daripada penaklukan dan kolonialisme atau daripada penerokaan pelaburan dan pasaran, bandar merupakan perantara utama antara dunia tempatan dan luaran. Dalam beberapa dasawarsa mutakhir kedua-dua ruang tersebut semakin mengecil disebabkan oleh kepantasan aliran maklumat. Kini tiada satu negara pun yang boleh terus kekal bersendirian untuk tumbuh maju. Pengecilan dunia kerana peningkatan ketersampaian itu meningkatkan pula kebergantungan antara negara-negara. Satu proses yang cuba menyatukan negara-negara adalah aliran pelaburan yang telah dapat mengagihkan sebahagian daripada proses pengeluaran barangan pembuatan dari negara-negara pusat tua perindustrian ke negara-negara membangun. Aliran pelaburan tersebut yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat besar multinasional serta syarikat-syarikat transnasional telah membentuk suatu pembahagian kerja baru di peringkat dunia. Negara-negara membangun yang telah meletakkan diri dan mengambil bahagian dalam tata baru pembangunan dunia itu menjadi sebahagian daripada pengeluar baru barangan pembuatan untuk dieksport. Negara-negara yang mengambil bahagian dalam pembangunan baru itu menunjukkan kemampuan untuk berkembang maju dengan pantas dalam suatu waktu yang singkat. Justru tata baru pembangunan dunia membolehkan proses pembangunan disingkatkan waktunya sambil meningkatkan jejaringan negara- negara dalam dunia yang pasaran semakin terbuka.

Bermula dari pembahagian kerja baru itu proses-proses yang berkaitan turut mempengaruhi negara-negara membangun. Kesemua proses itu sudah mula membawa perubahan kepada negara membangun baik dalam bentuk fizikal mahupun dalam bentuk ekonomi, sosial dan politik. Sangga utama pembangunan yang menggarap dunia sebagai ruangnya ialah struktur bandar sesebuah negara. Malahan, ada yang menghujahkan bahawa hubungan ekonomi dunia itu terkait antara bandar-bandar dunia dan bukannya antara negara (Jacobs, 1985). Pendapat sedemikian meminta kepada penelitian semula peranan bandar dan pembandaran sekiranya Malaysia mahupun negara-negara membangun lain ingin mengambil tempat dalam dasawarsa mendatang. Sungguhpun respon dari negara-negara membangun itu tidak sekata tetapi secara umum pelbagai aspek kehidupan masyarakat di negara-negara itu mula menghala ke arah keseragaman. Pengalaman Malaysia sejak mengantarabangsakan pembangunannya tidak terkecuali daripada perubahan-perubahan tersebut. Malaysia kini mengalami pembangunan yang dijana oleh pelaburan dalam industri pembuatan dan dipimpin oleh syarikat-syarikat besar dengan kerjasama kerajaan.

Thursday, October 25, 2007

URBANISASI NEGARA.

LATAR BELAKANG


Setakat ini tidak ada dasar Urbanisasi Negara yang
komprehensif dan yang telah diistiharkan secara rasmi
oleh kerajaan. Walaubagaimanapun terdapat beberapa
strategi dan pendekatan berhubung dengan pembangunan
bandar terutamanya dalam konteks pencapaian matlamat
pembangunan negara yang berasaskan DEB.
Kerajaan menganggap bahawa proses urbanisasi yang
di rancang dan dikawal adalah merupakan satu strategi
penting untuk mencapai matlamat DEB di samping memupuk
perseimbangan ekonomi di antara bandar dan luarbandar.
Selaras dengan ini kerajaan telah menubuhkan dua
Jawantankuasa Tertinggi, satu dianggotai oleh ahli-ahli
politik dengan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana
Menteri dan satu lagi dianggotai oleh pegawai- pegawai
Tadbir dengan dipengurusikan oleh Ketua Pengarah Unit
Perancang Ekonomi. Tugas kedua-dua jawatankuasa ini
ialah untuk merancang dan merangka satu dasar
Urbanisasi Negara yang lengkap dan komprenhensif.


Objektif

Selaras dengan usaha kerajaan untuk membentuk satu
Dasar Urbanisasi Negara; objektif-objektif dasar yang
khusus sedang dirangka. Dalam hal ini faktor-faktor
berikut yang berkaitan dengan proses urbanisasi dan
hubungannya dengan pembangunan ekonomi akan diambil
kira:-
(i) Proses demografi dan urbanisasi.

(ii) Keadaan perkaitan yang rapat yang wujud
di antara proses pembangunan sosio-ekonomi
dengan proses dan pola-pola urbanisasi.

(iii) Kesan 'spatial' berikutan dengan perlaksanaan
dasar dan program di peringkat negara dan
wilayah.

(iv) Dimensi-dimensi khusus dari segi proses
perbandaran.

(v) Peralatan-peralatan dasar (Policy Instrument)
yang telah dirangka untuk mencapai matlamat
DEB.


gambar2 kenangan semasa membuat kajian di Kota Tinggi..